Friday, May 21, 2010

TAWARAN PEKERJAAN DARI IKATAN RELAWAN RAKYAT MALAYSIA (RELA) DAN JABATAN KEMAJUAN ISLAM (JAKIM) KEPADA VETERAN ATM

Sukacita dimaklumkan pihak RELA telah menawarkan 3 jawatan kosong secara kontrak kepada para veteran ATM yang berminat. Jawatan-jawatan tersebut adalah Pegawai Pertahanan Awam (Gred KP41), Penolong Pegawai Pertahanan Awam (Gred KP27) dan Pembantu Pertahanan Awam ( Gred KP17).

Dalam pada itu, JAKIM juga turut menawarkan jawatan kosong secara kontrak iaitu Pembantu Hal Ehwal Islam (Gred S17) kepada anggota pesara KAGAT bagi mengembangkan dakwah kepada saudara-saudara baru di kalangan masyarakat orang asli di negara ini.

Sehubungan dengan itu, kepada para veteran ATM yang berminat menceburi bidang kerjaya tersebut, sila majukan nama berserta dokumen berkaitan permohonan ke JHEV ATM untuk diberi sokongan sebelum dihantar kepada pihak JPA untuk diproses temuduga serta pemilihan.

Syarat Lantikan

Pegawai Pertahanan Awam (Gred KP41)
  • Warganegara Malaysia
  • Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya : ATAU
  • Ijazah Sarjana Muda Kepujian yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya : ATAU
  • Bekas Penolong Penguasa PDRM atau Kapten ATM yang setaraf dengannya dan telah disahkan dalam jawatan tersebut serta mempunyai rekod perkhidmatan yang baik; DAN
  • lulus BM (termasuk lulus Ujian Lisan) pada peringkat SPM atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.
Penolong Pegawai Pertahanan Awam (Gred KP27)
  • Warganegara Malaysia
  • Diploma dalam bidang Pentadbiran Awam yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya : ATAU
  • Bekas Inspektor PDRM atau Leftenan ATM atau yang setaraf dengannya dan telah disahkan dalam perkhidmatan tersebut serta mempunyai rekod perkhidmatan yang baik; DAN
  • lulus BM (termasuk lulus Ujian Lisan) pada peringkat SPM atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.
Pembantu Pertahanan Awam (Gred KP17)
  • Warganegara Malaysia
  • Sijil Pelajaran Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf oleh kerajaan; ATAU
  • Bekas anggota polis atau tentera yang berpangkat Koperal dan ke atas dan telah disahkan dalam jawatan tersebut serta mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan berkebolehan bertutur, membaca dan menulis dalam Bahasa Malaysia dengan memuaskan; DAN
  • calon yang memiliki kelayakan seperti di atas hendaklah mendapat kepujian Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu (termasuk lulus Ujian Lisan) pada peringkat SPM atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.
Pembantu Hal Ehwal Islam (Gred S17)
  • Warganegara Malaysia
  • Sijil Pelajaran Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf oleh kerajaan dengan mendapat kepujian dalam mata pelajaran Agama Islam dan lulus Bahasa Arab; ATAU
  • Sijil IV Thanawi atau Sijil Tinggi Agama oleh Sekolah Agama Bantuan Penuh Kerajaan; DAN
  • lulus BM (termasuk lulus Ujian Lisan) pada peringkat SPM atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.