Tuesday, March 30, 2010

PROGRAM PEMBANGUNAN INSAN CEMERLANG

KOTA TINGGI- Program Pembangunan Insan Cemerlang Anak Veteran ATM Tahun 2010 telah dilaksanakan oleh JHEV ATM Negeri Johor di bawah kelolaan As-Sakinah Management bertempat di Akademi Kemahiran dan Latihan Insan, Kota Tinggi, Johor bermula pada 15 hingga 17 Mac 2010.

Program yang bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri dalam pembelajaran serta melahirkan insan cemerlang di kalangan anak veteran ATM ini telah dihadiri oleh seramai 139 orang peserta yang mana 69 orang adalah peserta perempuan manakala 70 orang adalah peserta lelaki.

Program Pembangunan Insan Cemerlang dianjurkan secara percuma kepada anak-anak Veteran ATM sebagai salah satu tanggungjawab sosial selain daripada bantuan berbentuk kewangan dan pembangunan ekonomi. Kejayaan anak-anak ini merupakan kunci masa hadapan yang lebih baik dalam memberikan kehidupan yang lebih bermakna kepada para Veteran ATM.

Diharapkan program ini dapat melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dari sudut akademik tetapi merangkumi kecemerlangan dalam akhlak, budi bahasa, disiplin dan berdedikasi. Selain itu, harapan kami juga agar peserta-peserta ini akan lebih bertanggung jawab kepada ibu bapa, masyarakat dan agama atas kesedaran diri sendiri seterusnya merangsang ke arah sikap positif dan menghindarkan diri daripada gejala sosial secara lebih berkesan.


Wednesday, March 10, 2010

MAJLIS PERASMIAN PENUBUHAN KOPERASI BEKAS TENTERA MALAYSIA NEGERI JOHOR BERHAD OLEH PBTM

JOHOR BAHRU - Pada 13 Februari 2010, bertempat di Dewan Orang Ramai Simpang Renggam, PBTM Bahagian Negeri Johor telah mengadakan Majlis Perasmian Penubuhan Koperasi Bekas Tentera Malaysia Negeri Johor Berhad  yang disempurnakan oleh YB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia. Turut hadir ialah YBhg Mej Jen Dato' Zulkiflee bin Mazlan, KP JHEV ATM serta Mej Khaler bin Alias, Pengarah JHEV ATM Negeri Johor.

Dalam majlis ini juga turut disampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) veteran-veteran ATM yang layak serta pemberian cek IPTA kepada anak-anak veteran yang mendapat tawaran pengajian di IPTA dan politeknik. Turut disampaikan sumbangan kerusi roda dan bantuan bencana alam. Dengan sumbangan dan bantuan yang diberikan ini, diharap sedikit sebanyak dapat membantu veteran ATM dan keluarga meringankan beban yang mereka hadapi.
 Sesi bergambar penerima PJM bersama Menteri Pertahanan Malaysia.
 Menteri Pertahanan Malaysia memberi sepatah dua kata sebelum memulakan majlis.
YB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada salah seorang veteran ATM.
Veteran-veteran ATM yang hadir pada Majlis Perasmian Penubuhan Koperasi Bekas Tentera Malaysia Negeri Johor Berhad.